Followers

Monday 13 October 2014

CERPEN : Assalamualaikum Cikgu (Episod 3)



Diselak-selak surat khabar itu berulang kali. Angin kipas angin membuatkan helaian surat khabar menampar mukanya  lantas membuatkan Hilmy tersedar daripada layanan perasaannya yang bercampur-baur itu. Ternyata berat sekali tanggungjawab untuk dia menjadi pengerusi majlis tanpa komitmen daripada Hanis. "Mana kau Hanis?" Dia mengeluh panjang.

            Keletah dan gelagat Hilmy diperhatikan oleh Rudy. "Katak tepikau tu Hilmy" Rudi mula berkata. Hilmy yang pada awalnya terbuai oleh perasaannya bingkas bangun bagaikan bom atom jatuh di Hirosima. Nasib baik kain pelikat yang disarungnya tidak terlurut ke bawah juga. Kalau tidak makin besarlah ketawa Rudy yang memang berniat hendak mengenakan Si Mat Bunga itu. "Cis, kurang ajar punya mamat Indon" gigi Hilmy dikancing kuat. Bermulalah sesi kejar mengejar antara dua makhluk tuhan paling kebudak-budakan itu. Tiba-tiba hasrat Hilmy untuk mengetuk kepala Rudy tidak tercapai apabila telefonnya berdering.

               Ditatap pada skrin telefon bimbitnya tertera Hanis Sipi lantas Hilmy terus mengangkatnya. Ingin sahaja gunung berapi yang sedang menggelagak dalam dirinya dihemburkan. Ternyata dia tidak terdaya apabila terdengar suara sayu meminta maaf. "Maaf Hilmy, aku tidak boleh menjadi pengerusi bersamakau" Hanis bersuara sayu lantas mematikan panggilan. Hilmy terkesima dan terus berdiri tegak tanpa kata.

           "Hanis telefonkau?" Jimmy bertanya. "untunglah ada buah hati merindui" Rudy terus menyampuk. "Diammm!!!" Tidak semena-mena Hilmy menempit. Suasana ketika itu bagai dihentikan waktu. Semua orang bagai batu yang diinjak-injak dan tidak mampu bersuara sekalipun. Hilmy terus mencapai kunci motosikalnya dan terus lenyap tanpa sebarang tanda sambil diperhatikan oleh mata-mata sahabatnya yang sedang berkelip-kelip.




Motosikal ditunggang Hilmy ke sekolah dengan paling perlahan. Manakala Jimmy pula bagai beruang koala yang bergayut pada dahan pokok. Dia masih tidak mampu bersuara. Suasana atas motosikal lengang tidak seperti biasa kerana sebelum ini mereka masing-masing akan menceritakan pengalaman di dalam bilik darjah.

Keadaan itu dibawa hingga ke bilik guru. Jimmy tekun meneliti bahan yang akan diajarkan kepada pelajarnya manakala Hilmy termenung sambil ditangannya terdapat teks pengacara majlis sempena Sambutan Hari Kemerdekaan. Walaupun, Hanis tidak membantu tetapi dia tetap gigih menyiapkan seorang diri. Perkara yang dirisaukan adalah keyakinannya untuk berhadapan dengan orang ramai. Sewaktu di universiti dia tidak pernah melibatkan diri dalam bidang-bidang pengucapan awam. kalau dipelawa pun pasti pelbagai alasan yang diberikan daripada alasan paling munasabah hinggalah alasan kucingnya hendak beranak. Tapi kini dia terpaksa menempuhnya sendirian.

"Hilmy, aku akan menggantikan tempat Hanis. Akak Rahmah yang suruh" Emel bersuara lembut. "Hmmm baiklah" balas Hilmy spontan. "Nasib baik kauada Emel, kalau tak si Hilmy ni muka macam cengkodok hitam yang dilenyek-lenyek" Jimmy cuba memeriahkan suasana. Wajah Hilmy ketika itu memang seakan-akan cengkodok sambil jelingan tajam diberikan pada Jimmy menandakan moodnya masih tidak berapa baik.

Memandangkan esok adalah harinya, jadi mereka tidak mempunyai banyak masa untuk berlatih. Habis waktu di sekolah dicuri untuk berlatih. Segalanya mereka rancang dengan baik. Nampaknya Emel ini lagi mudah untuk bekerjasa sama berbanding Si Katak Pisang itu. "Ahhh, malaslah nak fikir tentang dia" bisik hati Hilmy.



Sambutan Hari Kemerdekaan berjalan dengan lancar. Walaupun Hilmy merasakan dialah pengacara paling teruk pada abad ini tetapi dia tetap menerima pujian yang menggunung. Dia hanya mampu melemparkan senyuman paling lebar yang cuba disorok paling dalam ketidakikhlasannya itu.

"Terima kasih Emel, kalau tiadakau mesti teruk aku kena bahan dengan budak-budak" ucap Hilmy paling syukur. "Aku nak tanya ni, mana Si Katak Pisang tu?. Lama sudah aku tidak nampak?" Tanya Hilmy penuh pengharapan. "Kau tidak tahu?. Ayah dia baru meninggal dunia". Jawapan daripada Emel itu membuat rasa bersalahnya berselirat bersarang atas pohon egonya.

 "Ya Allah, teruknya hambaMu ini" Hilmy dihimpit penyesalan.

_____________________________________________________________________-_____EPISOD 2
Nantikan episod seterusnya untuk mengetahui apakah yang bakal berlaku.

CERITA INI ADALAH REKAAN SEMATA-MATA DAN TIADA KENA-MENGENA ANTARA YANG HIDUP ATAU YANG TELAH MENGHADAP ILLAHI.

"Assalamualaikum cikgu" ( To be Continued)




Sunday 12 October 2014

CERPEN : Assalamualaikum Cikgu (Episod 2)



“Hilmy dan Jimmy akak ada tugas untuk kamu. Kamu kena buat persembahan sempena sambutan hari Kemerdekaan Peringkat Sekolah” Kak Rahmah memberi arahan. “Jimmy memang pandai menyanyi akak” sambut Hilmy dengan selamba membuatkan riak muka Jimmy kemerah-merahan. “Owh baik, jadi kamu Hilmy kena jadi pengerusi majlis berpasangan bersama Hanis. Akak sudah berbincang dengan dia” Akak Rahmah membalas. “Hurmmm erk erk erk akak erk hurm, baik akak” Hilmy mula membayangkan bagaimana nanti kalau mulutnya disumbat pembesar suara oleh Si Katak Pisang tu.

                Sepanjang malam dia memikirkan sebarang kebarangkalian yang bakal berlaku hingga terkeluar segala rumus ‘probability’ dalam otaknya yang sudah lama bersawang  kerana  sudah lama tidak menjadi pengerusi majlis. Tambahan pula dia akan digandingkan pula dengan si katak pisang itu. “Ini semua kerja gila” jerit Hilmy hingga membuatkan rakan-rakan rumahnya tergamam.

                Esok dia mesti bersemuka dengan Si Katak Pisang itu tapi bagaimanakah caranya?. Dia harus profesional dan lupakan sebarang respon daripada dia. Lagi pun mereka harus bekerjasama, takkan pula si Hanis tu berani nak buat hal.

                “Hilmy, nanti hanis nak berjumpa dengan kamu selepas waktu persekolahan tamat” tiba-tiba Emel sahabat kepada Hanis menyampaikan pesan. “Cis, Si Katak Pisang ni nak jual mahal pula sampai hantar  mel eletronik ni” getus dia dengan nakal sekali. 

                Hilmy tekun menunggu manakala Jimmy menyiapkan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) bagi memastikan masanya tidak terbuang begitu sahaja.  “Sudah lama kautunggu katak Hijau?” tegur Hanis dari belakang. “Cis, Katak Pisang ni berani betul!” Hilmy mula bengang. “Kaujanji pukul berapa Katak Pisang?. Aku dah tunggu kauhampir 20 minit.” Balas Hilmy dengan nada yang lebih tegas. Hanis mula mencebik muka. Dia tidak sangka niatnya untuk bergurau akhirnya membuatkan situasi makin tegang. Jimmy pula khusuk tunduk sambil matanya kadang-kadang mengerling melihat gelagat dua ekor katak yang sedang bergaduh itu.  



                “1, 2, 3, 4, 5, 6, 7, 8, 9, 10” Hilmy mula menggunakan teknik Fairy Mary bagi meredakan kemarahannya.  Bila ketegangan reda Hilmy mula meminta maaf kepada Hanis. Hanis cuma mampu memberi sedikit angguk dan senyum 20 sen. “Dia ni ikhlas ke tak?” Batu persoalan melekat dalam diri Hilmy. Tanpa melengahkan masa mereka mula berbincang tentang tugas mereka sebagai pengerusi majlis sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Sekolah yang akan berlangsung pada hari Isnin minggu hadapan iaitu lebih kurang lima hari daripada hari ini.

                “Esok kita bincang lagi, jangan pula kaulewat” amaran meluncur laju daripada mulut Hilmy. Sikap ketegasannya memang sudah ada sejak kecil lagi. Dia juga pernah menjadi Ketua pengawas sewaktu di sekolah rendah dan ketua umum sewaktu di sekolah menengah.  “Baik, jangan-jangankau yang lewat” Hanis cuba memulangkan paku buah keras. “Baik kita tengok, tapi kalau kaulewat kauboleh sahaja melompat sebabnya itulah keistimewaan katak pisang” Hilmy cuba berseloroh. Panggggg!!! Tamparan Hanis yang lembut tertempek di belakangnya sehingga dia merengek bagaikan bahunya ditimpa buah kelapa.  Terus bayang-bayang Hanis hilang selepas itu. Mungkin dia takut Hilmy mengejarnya dan membalas perbuatannya. Almaklumlah dalam fikiran Hanis, Hilmy merupakan seorang yang berfikiran tidak waras yang selayaknya menjadi penghuni Hospital Bahagia di Tanjung Rambutan.



                Sesi perbincangan kedua tiba. Seperti perjanjian Hilmy tekun menunggu di kantin sekolah. Jam di tangannya ditelek-telek. Detik deras berlalu namun kelibat Hanis tidak juga muncul-muncul. “Grrrrrrrrrrrrrrr, Katak ni sudah dilenyek kereta barangkali” Hilmy makin geram. Dia juga mencari nombor telefon yang sempat diberikan Hanis kepadanya semalam. Namun, setelah dihubungi panggilannya tidak terangkat. “Adakah dia ini sejenis katak yang bertelinga cap badak?” Syaitan sedang menari-nari keriangan dalam diri Hilmy.  Dia cuba pula mencari Hanis di bilik guru namun kelibatnya tidak ditemui sebaliknya hanya ada Emel yang masih tidak pulang. “Erin Emelia, mana Katak Pisang yang selalu berdempek dengan engkau ni?”. “Manalah aku tahu, dia pulang ke rumah awal-awal tadi lagi. “Cis, budak ni memang nak kena”.



                “Lain kali kalau tidak tahu berjanji jangan berjanji!!!!!!!!!” Hilmy menaip mesej dan terus menghantar kepada nombor yang tertera nama Hanis Sipi. Lebih kurang 5 minit selepas itu masuk pesanan ringkas “maaf L” daripada Hanis. Hati Hilmy bagai mendidih dibakar kemarahan yang tidak tertanggung. Dia memang tidak suka kepada orang yang tidak pandai melunaskan janji. “Tidak mengapa hari ini hari kau, esok hari aku pula. Siap kau!” Hilmy mula berniat jahat.

_______________________________________________________________________EPISOD 2
Nantikan episod ketiga untuk mengetahui apakah yang bakal berlaku.

CERITA INI ADALAH REKAAN SEMATA-MATA DAN TIADA KENA-MENGENA ANTARA YANG HIDUP ATAU YANG TELAH MENGHADAP ILLAHI.

"Assalamualaikum cikgu" ( To be Continued)


Friday 10 October 2014

CERPEN : Assalamualaikum Cikgu (Episod 1)


JUMAAT itu permulaan untuk aku suntik jarum kenangan pada indahnya lapangan SMK Seri Ampang. Arggggggghhh cepat betul masa berlalu sedangkan aku belum bersedia untuk bergelar seorang guru praktikum. 


Bangunan sekolah yang tersergam indah seakan-akan mengerti betapa semangatnya aku untuk mendaftarkan diri di sini. Hamparannya yang hijau begitu mempersonakan. Jelas kelihatan susun letak bangunannya yang kemas bagai memekik "cepatlah kaudaftarkan diri". hahahaha. Gedebukkk!!! lantas bunyi yang kuat itu mengetuk aku daripada terus berangan-angan. Kulihat sahabatku Jimmy sudah terjelopok di mulut koridor. "Apa yang kaubuat dalam  longkang ni Jimmy?" keluar soalanku yang agak bodoh. Lantas aku hulurkan tangan untuk membantunya. Syukur sekali kerana dia tidak mengalami sebarang kecederaan.


      Walaupun berat aku memimpinnya untuk sama-sama ke bilik pengetua. Sampai sahaja di sana kami terus dipelawa masuk dan disambut dengan baik sekali. Jelas hal ini begitu menenangkan hati yang pada awalnya seperti katak yang melompat-lompat hendak keluar daripada periuk yang panas. Buruk sekali imaginasi aku. Beberapa majalah dihulurkan untuk kami belek. Banyak juga amaran dan nasihat yang diberikan kepada kami. Malah beliau juga turut menyatakan beberapa tarikh penting untuk sesi praktikum kami. Dengan dungunya kami pun menyalin setiap tarikh-tarikh yang diberikan. "tak payah salin! macam budak-budak" tempelak tuan pengetua menyebabkan imej-imej kambing yang sedang ketawa terpancar pada riak muka kami.

       Usai sahaja berkenalan bersama pengetua maka kami pun cepat-cepat untuk keluar bagi mengoyak rasa kekok sepanjang berada di dalam bilik yang terlalu sejuk itu. Kami mengambil peluang untuk tidak terus pulang sebaliknya meronda-ronda di kawasan sekitar sekolah bagi melihat-lihat agar tidak sesat pada hari Isnin ini iaitu hari yang secara rasminya aku, Tengku Hilmy Asnan bin Tengku Ahmad dan Christhoper Jimmy Leong akan bergelar sebagai GURU PRAKTIKUM.



      "Kain pelekat lalala, kain pelekat lalala, lalalalala" Jimmy makin kuat menyanyi menandakan hatinya cukup gembira. "nasib baik kaududuk dibelakang dan angin bertiup ke belakang Jimmy" bisik hati Hilmy yang tidak sanggup lagi didendangkan suara Jimmy yang kurang cukup garam dan gula itu. Hilmy terus deras membelah angin dengan menunggang motosikal honda petaknya yang sentiasa berkilat itu, Itulah harta yang paling Hilmy sayang walaupun ayahnya beberapa kali mempelawanya untuk membeli kereta dan motosikal baharu namun di tolak oleh Hilmy.

      "Bagaimana hari ini jumpa pengetua?" tanya Haikal. Baru sahaja Hilmy membuka mulut, Jimmy lebih cepat menjawab "OK saja".  "Ya OK saja" balas Hilmy dengan tidak bermaya.

        Hilmy terus memandang longgokan barang-barang yang masih tidak dikemasnya. "Nak buat tahi mata dulu ke nak titikkan peluh petani dulu" syaitan mula menggetus jembalang malas dalam diri Hilmy. Namun, Hilmy gagahkan diri untuk mengemas barang-barang yang baru sahaja sampai dari Tanjung Malim ke rumah sewa mereka yang telah ditempah sebulan yang lepas. Jimmy juga tidak melepaskan peluang untuk mengemas barang bersama sahabat-sahabat yang lain iaitu Haikal, Aiman dan Rudi. Selesai sahaja mengemas rumah dan barang-barang akhirnya dunia mereka gelap dan lenyap bersama-sama rasa letih masing-masing.


ISNIN mula menampakkan bayang-bayang gusar pada awannya yang mendung. Alis-alis langit mula mengalirkan air mata jernih. Namun, lumrah alam ini bukanlah persoalannya sebaliknya badai yang sedang mengganas di hati-hati bakal guru praktikum makin bernada rakus.

"Kausudah sedia Jimmy" tanya Hilmy. Setelah diboncengnya Jimmy atas motosikal maka menderulah mereka  sambil digigit-gigit rasa sejuk dan nyaman subuh hari. Seawal 6.40 pagi mereka tiba di sekolah jelas menunnjukkan walaupun risau mereka tetap bersemangat.

            Sewaktu bergegas mengisi ruang kehadiran pada buku laporan kehadiran, terdapat cikgu muda sedang beratur di belakang Hilmy. "Guru praktikum jugak ke?" dengan ramahnya dia bertanya. "Tidak, saya pengetua" dengan tenangnya gadis berbaju kuning yang di atas bibir kirinya bernoktah tahi lalat itu cuba berseloroh. Mereka berdua terus ketawa bagai syaitan yang sudah mendapat mangsa. "Grrrrrrrrrrrrrrrrr, owh nak main-main?" getus hati Hilmy dengan nada paling buas. Namun, ketawa mereka terhenti apabila kelibat pengetua menerpa di birai pintu. Masing-masing bagai pokok semalu yang menguncup apabila disentuh dan terus beredar daripada situ apabila selesai mengisi nama.

             "Mereka ni mesti guru praktikum juga kalau guru tetap mestilah pagi tadi hanya menghulurkan jari manis pada mesin untuk discan saja" makin kuat rasa ingin tahu Hilmy. "Woit Hilmy kaunakpergi makan tak?" terus pertanyaan daripada Jimmy itu memukul benaknya yang sedang berkhayal tentang dua gadis yang awal-awal lagi sudah membulinya. Kelibat Jimmy sudah tidak kelihatan maka dia terus mengorak langkah dengan laju. Disebabkan terlalu laju dia tidak dapat mengelak daripada terlanggar seseorang di muka pintu bilik guru. "Cisss, budak baju kuning ni lagi!" getus hati Hilmy. Waktu itu matanya terus berpinar-pinar melihat kawasan sekitar agar tiada orang yang melihatnya sedangkan gadis yang belum sempat bangun itu. ketika itu sempat dia melihat tag nama yang tertera Hanis pada gadis baju itu.

          "Dasar lelaki tak guna" Jerit Hanis dengan agak kuat dan terus meninggalkan Hilmy yang masih terpinga-pinga atas tindak-tanduk Hanis yang agak pelik tu.

           Hilmy kini terbeban rasa ingin memohon maaf yang begitu berat sekali. "Bagaimanakah caranya?" soalan ini terus menghantui Hilmy berhari-hari kerana Hanis sentiasa mengelak daripada terserempak dengannya.

_______________________________________________________________________ EPISOD 1
Nantikan episod kedua untuk mengetahui apakah yang bakal berlaku.

CERITA INI ADALAH REKAAN SEMATA-MATA DAN TIADA KENA-MENGENA ANTARA YANG HIDUP ATAU YANG TELAH MENGHADAP ILLAHI.

"Assalamualaikum cikgu" ( To be Continued)