Followers

Monday 3 November 2014

CERPEN : Assalamualaikum Cikgu (Episod 4)


Akibat terkesan dengan kesilapannya, Hilmy sering menjauhkan diri daripada Hanis. Dia tidak mampu untuk mengeluarkan walaupun sepatah kata di hadapan Hanis. Jika ada hal pun, pasti Jimmy yang menjadi posmen karatnya. Hari-hari dilalui seperti biasa. Masing-masing sibuk dengan tugasan yang setiap hari semakin membukit. Hilmy juga makin seronok menjadi seorang guru. Hari-harinya diisi dengan penuh bermakna bersama rakan-rakan dan pelajar.

         "Cikgu malam ini jom pergi main rollerblade di Dataran KTM nak?" Amin bersuara dari belakang. "hmmm nanti saya berikan jawapan" sahut Hilmy spontan. Memandangkan dia memikirkan pada malam ini mereka tiada sebarang urusan maka mereka mengambil keputusan untuk meluangkan masa bersama Amin.

            Dalam cahaya yang samar-samar, kelibat Amin dicari memandangkan mereka agak lewat tiba di tempat yang telah dijanjikan. Hampir lima minit mereka menyelit-nyelit di celahan manusia yang memenuhi segenap ruang itu. "Hai cikgu, janji Melayu yerrrr??? Amin menemplak dari belakang. "Hai kamu ni Amin, kami ada hal tadi" jawapan bersahaja yang diberikan Jimmy. "Jomlah kita main" Hilmy nampaknya tidak sabar walaupun dia tidak pernah sekalipun bermain kasut roda itu. Pasti detik itu akan membuahkan rasa lucu yang terpahat dalam ingatan mereka.

          Selepas menyarungkan kasut roda, Hilmy dan Jimmy mula bangun. Alangkah menyakitkan apabila mereka berdua tidak dapat berdiri dengan baik sehinggakan kepala kedua-duanya masing-masing terhantuk dan akhirnya jatuh ke tanah. Ini bukan tupai yang jatuh sebaliknya memerang yang terjun ke dalam air. Gelagat mereka berdua ditertawakan oleh orang-orang disekeliling termasuklah Amin. Dengan muka yang kemerahan mereka cuba untuk menyembunyikan rasa malu yang seolah-olah tahi lembu tertempek di wajah mereka. Hilmy cuba bangun semula tetapi kakinya tertolak ke hadapan dan menyebabkan badannya tidak stabil lalu terlanggar seorang perempuan yang datang dari arah belakang. Hilmy bernasib baik, perempuan tu tidak mengelak sebaliknya menyambutnya.
            “Astaghfirullahal azim, maafkan saya puan” kata-kata meluncur laju dari mulut Hilmy lantas menyebabkan dia dilepaskan. “Cis, katak pisang rupanya!” Hilmy menyedari bahawa wanita yang menolongnya tadi adalah Hanis.  “Owh awak, lain kali kalau tak tahu main tak payah nak main” Hanis mula membalas dan terus meninggalkan Hilmy sambil menggayakan aksi bermain kasut roda bagi  menghangatkan lagi hati Hilmy.
            Kaki Hilmy terseliuh dan dia tidak dapat lagi meneruskan permainannya dan hanya dapat melihat gelagat-gelagat rakan dan anak muridnya dari jauh. Sambil menghirup air kelapa dan mengurut-ngurut kakinya yang sakit itu, Hilmy memikirkan tentang cara untuk dia meminta maaf kepada Hanis akan segala kekhilafannya. 
            “Dah pandai ker?” soalan diajukan Hanis dari belakang menyebabkan Hilmy bagai dihempap kebingungan. “Hurmmm, biasa-biasa saja” Hilmy membalas. “Hurmmmmmm, Hanis saya nak minta maaf kepada awak atas semua kesalahan saya sebelum ini” Hilmy akhirnya meluahkan segala kebuntuan yang berselirat di dalam kepalanya selama ini. “Owh, saya dah lama maafkan awak” Hanis membalas bersahaja. Ternyata kata-kata Hanis itu membuatkan hatinya bersorak gembira.
            “Puas aku carikau, rupanya di sini bermadu asmara”, Emel mengusik dari belakang. “memandai saja” Hanis membalas sambil tangan kanannya menampar bahu Emel dengan agak kuat. Hilmy tersenyum melihat gelagat katak-katak yang sedang bertamparan itu. Tiba-tiba Hilmy terkhayal pada saat melihat bibir merah yang sedang tersenyum, lesum pipit yang dalam, dan gelagat keanak-anakan Emel. “Aishhh, kauni dah mengapa Hilmy?. Hilmy menerjahkan soalan yang menampar lamunannya. “Hilmy, dari tadi aku lihat kauasyik memandang Emel saja, ada something ke ni? Soalan Jimmy lagi menghempap Hilmy dan akhirnya menyebabkan suasana menjadi kekok dan pelik.
            “Dah lewat ni, nanti nak hantar Amin lagi. Jom kita balik.” Hilmy cuba mengubah topik. Sepanjang perjalanan pulang mereka berdiam seribu bahasa. Walaupun keletihan Jimmy sempat memandang gelagat Hilmy yang tersenyum sendirian. “Ai, dah jumpa dengan puteri katak idaman ker?” Jimmy bertanya namun sedikitpun tidak dilayan oleh Hilmy.
           

            Keesokannya makin parah apabila setiap kali bertemu Emel, gelodak perasaan Hilmy tidak keruan. “Meskikah aku luahkan perasaanku ini?.” Hilmy kebuntuan. Namun, dia cuba merahsiakan segala-galanya dan meneruskan tugas seperti biasa. Sewaktu terserempak Emel, dia mula rasa kekok. Emel pun merasakan sesuatu yang pelik sehinggakan dia menceritakan kepada Hanis tentang perasaan yang tidak enak itu. “Aku sedang sibuk nak siapkan RPH ni, nanti kita sembang” Hanis tiba-tiba sahaja membalas dengan nada yang kurang senang. 

_____________________________________________________________________-_____EPISOD 4 
Nantikan episod seterusnya untuk mengetahui apakah yang bakal berlaku.

CERITA INI ADALAH REKAAN SEMATA-MATA DAN TIADA KENA-MENGENA ANTARA YANG HIDUP ATAU YANG TELAH MENGHADAP ILLAHI.

"Assalamualaikum cikgu" ( To be Continued)
       

Monday 13 October 2014

CERPEN : Assalamualaikum Cikgu (Episod 3)



Diselak-selak surat khabar itu berulang kali. Angin kipas angin membuatkan helaian surat khabar menampar mukanya  lantas membuatkan Hilmy tersedar daripada layanan perasaannya yang bercampur-baur itu. Ternyata berat sekali tanggungjawab untuk dia menjadi pengerusi majlis tanpa komitmen daripada Hanis. "Mana kau Hanis?" Dia mengeluh panjang.

            Keletah dan gelagat Hilmy diperhatikan oleh Rudy. "Katak tepikau tu Hilmy" Rudi mula berkata. Hilmy yang pada awalnya terbuai oleh perasaannya bingkas bangun bagaikan bom atom jatuh di Hirosima. Nasib baik kain pelikat yang disarungnya tidak terlurut ke bawah juga. Kalau tidak makin besarlah ketawa Rudy yang memang berniat hendak mengenakan Si Mat Bunga itu. "Cis, kurang ajar punya mamat Indon" gigi Hilmy dikancing kuat. Bermulalah sesi kejar mengejar antara dua makhluk tuhan paling kebudak-budakan itu. Tiba-tiba hasrat Hilmy untuk mengetuk kepala Rudy tidak tercapai apabila telefonnya berdering.

               Ditatap pada skrin telefon bimbitnya tertera Hanis Sipi lantas Hilmy terus mengangkatnya. Ingin sahaja gunung berapi yang sedang menggelagak dalam dirinya dihemburkan. Ternyata dia tidak terdaya apabila terdengar suara sayu meminta maaf. "Maaf Hilmy, aku tidak boleh menjadi pengerusi bersamakau" Hanis bersuara sayu lantas mematikan panggilan. Hilmy terkesima dan terus berdiri tegak tanpa kata.

           "Hanis telefonkau?" Jimmy bertanya. "untunglah ada buah hati merindui" Rudy terus menyampuk. "Diammm!!!" Tidak semena-mena Hilmy menempit. Suasana ketika itu bagai dihentikan waktu. Semua orang bagai batu yang diinjak-injak dan tidak mampu bersuara sekalipun. Hilmy terus mencapai kunci motosikalnya dan terus lenyap tanpa sebarang tanda sambil diperhatikan oleh mata-mata sahabatnya yang sedang berkelip-kelip.




Motosikal ditunggang Hilmy ke sekolah dengan paling perlahan. Manakala Jimmy pula bagai beruang koala yang bergayut pada dahan pokok. Dia masih tidak mampu bersuara. Suasana atas motosikal lengang tidak seperti biasa kerana sebelum ini mereka masing-masing akan menceritakan pengalaman di dalam bilik darjah.

Keadaan itu dibawa hingga ke bilik guru. Jimmy tekun meneliti bahan yang akan diajarkan kepada pelajarnya manakala Hilmy termenung sambil ditangannya terdapat teks pengacara majlis sempena Sambutan Hari Kemerdekaan. Walaupun, Hanis tidak membantu tetapi dia tetap gigih menyiapkan seorang diri. Perkara yang dirisaukan adalah keyakinannya untuk berhadapan dengan orang ramai. Sewaktu di universiti dia tidak pernah melibatkan diri dalam bidang-bidang pengucapan awam. kalau dipelawa pun pasti pelbagai alasan yang diberikan daripada alasan paling munasabah hinggalah alasan kucingnya hendak beranak. Tapi kini dia terpaksa menempuhnya sendirian.

"Hilmy, aku akan menggantikan tempat Hanis. Akak Rahmah yang suruh" Emel bersuara lembut. "Hmmm baiklah" balas Hilmy spontan. "Nasib baik kauada Emel, kalau tak si Hilmy ni muka macam cengkodok hitam yang dilenyek-lenyek" Jimmy cuba memeriahkan suasana. Wajah Hilmy ketika itu memang seakan-akan cengkodok sambil jelingan tajam diberikan pada Jimmy menandakan moodnya masih tidak berapa baik.

Memandangkan esok adalah harinya, jadi mereka tidak mempunyai banyak masa untuk berlatih. Habis waktu di sekolah dicuri untuk berlatih. Segalanya mereka rancang dengan baik. Nampaknya Emel ini lagi mudah untuk bekerjasa sama berbanding Si Katak Pisang itu. "Ahhh, malaslah nak fikir tentang dia" bisik hati Hilmy.



Sambutan Hari Kemerdekaan berjalan dengan lancar. Walaupun Hilmy merasakan dialah pengacara paling teruk pada abad ini tetapi dia tetap menerima pujian yang menggunung. Dia hanya mampu melemparkan senyuman paling lebar yang cuba disorok paling dalam ketidakikhlasannya itu.

"Terima kasih Emel, kalau tiadakau mesti teruk aku kena bahan dengan budak-budak" ucap Hilmy paling syukur. "Aku nak tanya ni, mana Si Katak Pisang tu?. Lama sudah aku tidak nampak?" Tanya Hilmy penuh pengharapan. "Kau tidak tahu?. Ayah dia baru meninggal dunia". Jawapan daripada Emel itu membuat rasa bersalahnya berselirat bersarang atas pohon egonya.

 "Ya Allah, teruknya hambaMu ini" Hilmy dihimpit penyesalan.

_____________________________________________________________________-_____EPISOD 2
Nantikan episod seterusnya untuk mengetahui apakah yang bakal berlaku.

CERITA INI ADALAH REKAAN SEMATA-MATA DAN TIADA KENA-MENGENA ANTARA YANG HIDUP ATAU YANG TELAH MENGHADAP ILLAHI.

"Assalamualaikum cikgu" ( To be Continued)




Sunday 12 October 2014

CERPEN : Assalamualaikum Cikgu (Episod 2)



“Hilmy dan Jimmy akak ada tugas untuk kamu. Kamu kena buat persembahan sempena sambutan hari Kemerdekaan Peringkat Sekolah” Kak Rahmah memberi arahan. “Jimmy memang pandai menyanyi akak” sambut Hilmy dengan selamba membuatkan riak muka Jimmy kemerah-merahan. “Owh baik, jadi kamu Hilmy kena jadi pengerusi majlis berpasangan bersama Hanis. Akak sudah berbincang dengan dia” Akak Rahmah membalas. “Hurmmm erk erk erk akak erk hurm, baik akak” Hilmy mula membayangkan bagaimana nanti kalau mulutnya disumbat pembesar suara oleh Si Katak Pisang tu.

                Sepanjang malam dia memikirkan sebarang kebarangkalian yang bakal berlaku hingga terkeluar segala rumus ‘probability’ dalam otaknya yang sudah lama bersawang  kerana  sudah lama tidak menjadi pengerusi majlis. Tambahan pula dia akan digandingkan pula dengan si katak pisang itu. “Ini semua kerja gila” jerit Hilmy hingga membuatkan rakan-rakan rumahnya tergamam.

                Esok dia mesti bersemuka dengan Si Katak Pisang itu tapi bagaimanakah caranya?. Dia harus profesional dan lupakan sebarang respon daripada dia. Lagi pun mereka harus bekerjasama, takkan pula si Hanis tu berani nak buat hal.

                “Hilmy, nanti hanis nak berjumpa dengan kamu selepas waktu persekolahan tamat” tiba-tiba Emel sahabat kepada Hanis menyampaikan pesan. “Cis, Si Katak Pisang ni nak jual mahal pula sampai hantar  mel eletronik ni” getus dia dengan nakal sekali. 

                Hilmy tekun menunggu manakala Jimmy menyiapkan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) bagi memastikan masanya tidak terbuang begitu sahaja.  “Sudah lama kautunggu katak Hijau?” tegur Hanis dari belakang. “Cis, Katak Pisang ni berani betul!” Hilmy mula bengang. “Kaujanji pukul berapa Katak Pisang?. Aku dah tunggu kauhampir 20 minit.” Balas Hilmy dengan nada yang lebih tegas. Hanis mula mencebik muka. Dia tidak sangka niatnya untuk bergurau akhirnya membuatkan situasi makin tegang. Jimmy pula khusuk tunduk sambil matanya kadang-kadang mengerling melihat gelagat dua ekor katak yang sedang bergaduh itu.  



                “1, 2, 3, 4, 5, 6, 7, 8, 9, 10” Hilmy mula menggunakan teknik Fairy Mary bagi meredakan kemarahannya.  Bila ketegangan reda Hilmy mula meminta maaf kepada Hanis. Hanis cuma mampu memberi sedikit angguk dan senyum 20 sen. “Dia ni ikhlas ke tak?” Batu persoalan melekat dalam diri Hilmy. Tanpa melengahkan masa mereka mula berbincang tentang tugas mereka sebagai pengerusi majlis sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Sekolah yang akan berlangsung pada hari Isnin minggu hadapan iaitu lebih kurang lima hari daripada hari ini.

                “Esok kita bincang lagi, jangan pula kaulewat” amaran meluncur laju daripada mulut Hilmy. Sikap ketegasannya memang sudah ada sejak kecil lagi. Dia juga pernah menjadi Ketua pengawas sewaktu di sekolah rendah dan ketua umum sewaktu di sekolah menengah.  “Baik, jangan-jangankau yang lewat” Hanis cuba memulangkan paku buah keras. “Baik kita tengok, tapi kalau kaulewat kauboleh sahaja melompat sebabnya itulah keistimewaan katak pisang” Hilmy cuba berseloroh. Panggggg!!! Tamparan Hanis yang lembut tertempek di belakangnya sehingga dia merengek bagaikan bahunya ditimpa buah kelapa.  Terus bayang-bayang Hanis hilang selepas itu. Mungkin dia takut Hilmy mengejarnya dan membalas perbuatannya. Almaklumlah dalam fikiran Hanis, Hilmy merupakan seorang yang berfikiran tidak waras yang selayaknya menjadi penghuni Hospital Bahagia di Tanjung Rambutan.



                Sesi perbincangan kedua tiba. Seperti perjanjian Hilmy tekun menunggu di kantin sekolah. Jam di tangannya ditelek-telek. Detik deras berlalu namun kelibat Hanis tidak juga muncul-muncul. “Grrrrrrrrrrrrrrr, Katak ni sudah dilenyek kereta barangkali” Hilmy makin geram. Dia juga mencari nombor telefon yang sempat diberikan Hanis kepadanya semalam. Namun, setelah dihubungi panggilannya tidak terangkat. “Adakah dia ini sejenis katak yang bertelinga cap badak?” Syaitan sedang menari-nari keriangan dalam diri Hilmy.  Dia cuba pula mencari Hanis di bilik guru namun kelibatnya tidak ditemui sebaliknya hanya ada Emel yang masih tidak pulang. “Erin Emelia, mana Katak Pisang yang selalu berdempek dengan engkau ni?”. “Manalah aku tahu, dia pulang ke rumah awal-awal tadi lagi. “Cis, budak ni memang nak kena”.



                “Lain kali kalau tidak tahu berjanji jangan berjanji!!!!!!!!!” Hilmy menaip mesej dan terus menghantar kepada nombor yang tertera nama Hanis Sipi. Lebih kurang 5 minit selepas itu masuk pesanan ringkas “maaf L” daripada Hanis. Hati Hilmy bagai mendidih dibakar kemarahan yang tidak tertanggung. Dia memang tidak suka kepada orang yang tidak pandai melunaskan janji. “Tidak mengapa hari ini hari kau, esok hari aku pula. Siap kau!” Hilmy mula berniat jahat.

_______________________________________________________________________EPISOD 2
Nantikan episod ketiga untuk mengetahui apakah yang bakal berlaku.

CERITA INI ADALAH REKAAN SEMATA-MATA DAN TIADA KENA-MENGENA ANTARA YANG HIDUP ATAU YANG TELAH MENGHADAP ILLAHI.

"Assalamualaikum cikgu" ( To be Continued)


Friday 10 October 2014

CERPEN : Assalamualaikum Cikgu (Episod 1)


JUMAAT itu permulaan untuk aku suntik jarum kenangan pada indahnya lapangan SMK Seri Ampang. Arggggggghhh cepat betul masa berlalu sedangkan aku belum bersedia untuk bergelar seorang guru praktikum. 


Bangunan sekolah yang tersergam indah seakan-akan mengerti betapa semangatnya aku untuk mendaftarkan diri di sini. Hamparannya yang hijau begitu mempersonakan. Jelas kelihatan susun letak bangunannya yang kemas bagai memekik "cepatlah kaudaftarkan diri". hahahaha. Gedebukkk!!! lantas bunyi yang kuat itu mengetuk aku daripada terus berangan-angan. Kulihat sahabatku Jimmy sudah terjelopok di mulut koridor. "Apa yang kaubuat dalam  longkang ni Jimmy?" keluar soalanku yang agak bodoh. Lantas aku hulurkan tangan untuk membantunya. Syukur sekali kerana dia tidak mengalami sebarang kecederaan.


      Walaupun berat aku memimpinnya untuk sama-sama ke bilik pengetua. Sampai sahaja di sana kami terus dipelawa masuk dan disambut dengan baik sekali. Jelas hal ini begitu menenangkan hati yang pada awalnya seperti katak yang melompat-lompat hendak keluar daripada periuk yang panas. Buruk sekali imaginasi aku. Beberapa majalah dihulurkan untuk kami belek. Banyak juga amaran dan nasihat yang diberikan kepada kami. Malah beliau juga turut menyatakan beberapa tarikh penting untuk sesi praktikum kami. Dengan dungunya kami pun menyalin setiap tarikh-tarikh yang diberikan. "tak payah salin! macam budak-budak" tempelak tuan pengetua menyebabkan imej-imej kambing yang sedang ketawa terpancar pada riak muka kami.

       Usai sahaja berkenalan bersama pengetua maka kami pun cepat-cepat untuk keluar bagi mengoyak rasa kekok sepanjang berada di dalam bilik yang terlalu sejuk itu. Kami mengambil peluang untuk tidak terus pulang sebaliknya meronda-ronda di kawasan sekitar sekolah bagi melihat-lihat agar tidak sesat pada hari Isnin ini iaitu hari yang secara rasminya aku, Tengku Hilmy Asnan bin Tengku Ahmad dan Christhoper Jimmy Leong akan bergelar sebagai GURU PRAKTIKUM.



      "Kain pelekat lalala, kain pelekat lalala, lalalalala" Jimmy makin kuat menyanyi menandakan hatinya cukup gembira. "nasib baik kaududuk dibelakang dan angin bertiup ke belakang Jimmy" bisik hati Hilmy yang tidak sanggup lagi didendangkan suara Jimmy yang kurang cukup garam dan gula itu. Hilmy terus deras membelah angin dengan menunggang motosikal honda petaknya yang sentiasa berkilat itu, Itulah harta yang paling Hilmy sayang walaupun ayahnya beberapa kali mempelawanya untuk membeli kereta dan motosikal baharu namun di tolak oleh Hilmy.

      "Bagaimana hari ini jumpa pengetua?" tanya Haikal. Baru sahaja Hilmy membuka mulut, Jimmy lebih cepat menjawab "OK saja".  "Ya OK saja" balas Hilmy dengan tidak bermaya.

        Hilmy terus memandang longgokan barang-barang yang masih tidak dikemasnya. "Nak buat tahi mata dulu ke nak titikkan peluh petani dulu" syaitan mula menggetus jembalang malas dalam diri Hilmy. Namun, Hilmy gagahkan diri untuk mengemas barang-barang yang baru sahaja sampai dari Tanjung Malim ke rumah sewa mereka yang telah ditempah sebulan yang lepas. Jimmy juga tidak melepaskan peluang untuk mengemas barang bersama sahabat-sahabat yang lain iaitu Haikal, Aiman dan Rudi. Selesai sahaja mengemas rumah dan barang-barang akhirnya dunia mereka gelap dan lenyap bersama-sama rasa letih masing-masing.


ISNIN mula menampakkan bayang-bayang gusar pada awannya yang mendung. Alis-alis langit mula mengalirkan air mata jernih. Namun, lumrah alam ini bukanlah persoalannya sebaliknya badai yang sedang mengganas di hati-hati bakal guru praktikum makin bernada rakus.

"Kausudah sedia Jimmy" tanya Hilmy. Setelah diboncengnya Jimmy atas motosikal maka menderulah mereka  sambil digigit-gigit rasa sejuk dan nyaman subuh hari. Seawal 6.40 pagi mereka tiba di sekolah jelas menunnjukkan walaupun risau mereka tetap bersemangat.

            Sewaktu bergegas mengisi ruang kehadiran pada buku laporan kehadiran, terdapat cikgu muda sedang beratur di belakang Hilmy. "Guru praktikum jugak ke?" dengan ramahnya dia bertanya. "Tidak, saya pengetua" dengan tenangnya gadis berbaju kuning yang di atas bibir kirinya bernoktah tahi lalat itu cuba berseloroh. Mereka berdua terus ketawa bagai syaitan yang sudah mendapat mangsa. "Grrrrrrrrrrrrrrrrr, owh nak main-main?" getus hati Hilmy dengan nada paling buas. Namun, ketawa mereka terhenti apabila kelibat pengetua menerpa di birai pintu. Masing-masing bagai pokok semalu yang menguncup apabila disentuh dan terus beredar daripada situ apabila selesai mengisi nama.

             "Mereka ni mesti guru praktikum juga kalau guru tetap mestilah pagi tadi hanya menghulurkan jari manis pada mesin untuk discan saja" makin kuat rasa ingin tahu Hilmy. "Woit Hilmy kaunakpergi makan tak?" terus pertanyaan daripada Jimmy itu memukul benaknya yang sedang berkhayal tentang dua gadis yang awal-awal lagi sudah membulinya. Kelibat Jimmy sudah tidak kelihatan maka dia terus mengorak langkah dengan laju. Disebabkan terlalu laju dia tidak dapat mengelak daripada terlanggar seseorang di muka pintu bilik guru. "Cisss, budak baju kuning ni lagi!" getus hati Hilmy. Waktu itu matanya terus berpinar-pinar melihat kawasan sekitar agar tiada orang yang melihatnya sedangkan gadis yang belum sempat bangun itu. ketika itu sempat dia melihat tag nama yang tertera Hanis pada gadis baju itu.

          "Dasar lelaki tak guna" Jerit Hanis dengan agak kuat dan terus meninggalkan Hilmy yang masih terpinga-pinga atas tindak-tanduk Hanis yang agak pelik tu.

           Hilmy kini terbeban rasa ingin memohon maaf yang begitu berat sekali. "Bagaimanakah caranya?" soalan ini terus menghantui Hilmy berhari-hari kerana Hanis sentiasa mengelak daripada terserempak dengannya.

_______________________________________________________________________ EPISOD 1
Nantikan episod kedua untuk mengetahui apakah yang bakal berlaku.

CERITA INI ADALAH REKAAN SEMATA-MATA DAN TIADA KENA-MENGENA ANTARA YANG HIDUP ATAU YANG TELAH MENGHADAP ILLAHI.

"Assalamualaikum cikgu" ( To be Continued)

Monday 1 September 2014

Sajak Kemerdekaan - SEMAI WARNA MERAH PUTIH BIRU KUNING


(Sambutan Bulan Kemerdekaan yang ke-57)

Jendela waktu membiarkan terik mentari membahang
terlihat saujana permai baruh tanah keemasan
sayup-sayup terdengar desir angin keharmonian
bangau putih terbang kebebasan
Kita sebenarnya masih keberuntungan

Setiap hari
Mata terpaut pada kibaran jalur warna hati
tegak tanpa kata
Namun jeritnya paling dalam
khabarkan jerit-perih gapai kemerdekaan

Dengan cangkul bersendikan urat belikat inilah
satu persatu lompang watan dikuburi
disemai benih-benih jati pada diri
disirami darah-darah patriot
dibajai madu-madu ilmu 
kita sebernarnya masih keberuntungan

Dengan sumpah setia senantiasa
kita laungkan kata semangat
takkan undur walau selangkah
takkan gentar walau sesaat
julang panji jalur warna

Keberuntungan kita lahir di baruh emas ini
tiap selut adalah rezeki
tiap semalu adalah harga diri
tiap duri adalah kekuatan
tiap batu adalah benteng
tiap air adalah keharmonian
tiap lalang adalah peneman
tiap unggas nyanyi lagu penghormatan

Buatmu tanah tumpahnya darahku

Nukilan:
Khairul Azhar Usof (KAUs)
Taman Cempaka, Ipoh
23/04/2014



Sunday 8 June 2014

Sambal Petai Ikan Bilis

Assalamualaikum...

Haaaaaaaaaaaaaaaaaaaaa, kali ni teringin nak makan sambal petai. Tiba-tiba nampak petai dok bergantungan di Pasar Malam Tanjong Malim, terus sesak nafas dan jantung. eceh ayat xleh belah langsung hahahahaha... 

Tingin plk nak kongsi sambal yang mudah ni... kali ni sambal petai sekali dengan kulit tau. haaaaaaaaa.
kalau dengan kulit ni, kena la tau cara dia. Kalau x, xleh la makan. kelat ja sambal kita nanti.

ni la rupanya sambal yang sudah dimakasa. Amacam??? terliur tak??? hahahhaa... sebelum tu jom tengok bahan-bahan yang diperlukan.

Petai X 4-5 papan
Ikan bilis X segenggam
cili kering X 15 biji
Bawang besar X 3 labu
Asam keping X 1 keping
Gula X 2 sudu
Garam X secukup rasa
Minyak masak X 1/2 senduk

BAIK. JOM TEGOK CARA-CARANYA PLK
.
.
.


Pertama sekali, kita harus buang bahagian tepi petai (maaf terlupa nak tangkap gambar). Selepas tu potong nipis-nipis seperti gambar di atas. Nampak tak??? tak nampak alamatnya pendek umur. hahahha... Bila sudah dibersihkan, masukkan ke dalam periuk dan rebus seketika (5-10 minit).

sebab apa kena rebus??? sebabnya nak buang rasa kelat pada kulit. Kalau kita masukkan terus dalam sambal. nanti kelatlah sambal kita. Cara lain yang boleh buat adalah dengan mengikis kulit petai terlebih dahulu sebelum potong. xpayah la rebus dah... huhuh. nak mudah lagi, amik ja isi saja.


Sementara tu rendam la ikan bilis nii dan bersihkan. Nak goreng bagi rangup pun boleh. tapi rasa sedap lg masuk terus ja. rasa lembut sikit.


Haaaaaaaaaa... mari kita tumis bahan-bahan yang dikisar (bawang besar dan cili kering). Masukkan minyak dalam kuali n tunggu sampai panas baru masukkan bahan kisar tadi. Mudah saja. Tunggu la sampai bahan kisar dah masak atau naik bau atau pecah minyak. sambil-sambil tu masukkan asam keping. Lepas tu masukkan dahulu gula. Nak bagi warna sambal kita cantik sikit. huhu. Boleh masukkan garam secukup rasa. Lepas itu boleh masukkan ikan bilis dan petai yang sudah direbus.



Ni la hasilnya... xperlu tunggu lama, sebab petai dah direbus. cuma tunggu ikan bilis masak sikit saja. Kalau suka kuah banyak, masukkanlah air sikit. hhuhu. tp mcm ni pun dah ok. huhuhu. bila dah masak boleh dihidangkan.

taraaaaaaaaaaaa....


ni la hasilnya. siap masukkan dalam claypot lagi. hahaha. seyes meleh ayaq liuq. Makan dengan nasi panas terangkat ni... huhuhu... apapun selamat mencuba naaaaaaaaaa...

Terima kasih


Wednesday 28 May 2014

Ikan Goreng Berlada Ala Minang

Assalamualaikum

haaaaaaaaaaaaaaa. hari tiba2 nak cari resepi utk masak ikan yang simple. Akhirnya jumpa la ikan berlada ala minang. Walaupun ada bahan-bahan yang takda, improvise la maknanya. hahha. masa ni la nak inovatif sikit. huhuhu.

Nak tau cara2nyakan??? JOM la...


Mula-mula bersihkan ikan. Ikan apa? ikan apa ja la yang hampa suka. Bila dan bersihkan, lumurkan dengan serbuk kunyit dan garam. Lepas tu boleh goreng. Jangan goreng sampai garing plk, cukupla bila da kuning sikit2.




Di atas ni bahan2 untuk ditumbuk... Antaranya:
Bawang merah
Bawang putih
Cili padi
kunyit
halia


Lepas dah siap tumbuk, pastu panaskan sedikit minyak. Guna minyak goreng ikan tadi pun takpa. Pastu tumiskan bahan-bahan ditumbuk. Biar sampai naik bau.

Bila agak-agak dah ok, masukkan air asam jawa, garam dan gula secukup rasa. Pastu bolehlah masukkan ikan yang sudah digoreng tadi. Biarkan seketika n boleh dihidangkan.


Sedapkaaaaaannnnnnnnnnnnnnnnnnnnnn.. huhuhu

Pesanan: boleh masukkan daun limau purut.

Monday 26 May 2014

Resepi : Kerang Rebus

Assalamualaikum semua. haaaaaaaaaaaa, hari ni pergi pasar tetiba plk nampak kerang yang dok senyum busuk kat aku. Terus tingin nak makan kerang rebus cicah sambal kicap. huhuhuhuhu... dappppnyaaaaaaa.... 


Langkah pertama : bersihkan kerang. kalau rajin berus la sampai hilang lumut2 tu. hahahhaha... Jangan cuci dengan air sabun sudah la yerrrrrrrrr...



Langkah kedua : behsihkan 1 X bawang bersar (hiris), 4 X bawang putih (hiris), 1 X serai (ketuk), 8 X cili padi (tumbuk).


Langkah ketiga : masukkan semua bahan di atas termasuk kerang dan air. Air tu agak2 tenggelam la kerang tu. Jangan lupa masukkan garam yerrrrr... Tunggu la sampai masak.


Sambil2 tunggu kerang kita masak, boleh la kita hiris cili padi dan bawang merah. Bila sudah hiris masukkan ke dalam mangkuk. Selepas tu, masukkan kicap dan perahkan asam limau. Siapppp...


Bila sudah masak. Bolehlah dihidangkan. Enak di makan dengan nasi panas. Nyum333333

Selamat Mencuba

Friday 23 May 2014

SAJAK : BAHASA

Bahasa mencari tuannya
mengimbas helai-helai budi pada cinta
menyelak-nyelak buku salasilahnya
tersimpan di kemelut harga diri.

Saat pena berlari-lari mengejar waktu
melorek sendi-sendi bahasa pada nama
bahasa masih kaku tanpa arah
tiada pangkuan menagih simpati
terjelopok di kaki bangsa keji

Dan mulalah bangsa itu ketawa berdekah-dekah
memekik pada bahasa tiada arah
kami bukan tuanmu
kami sudah diberikan bahasa
bahasa segala kaum dunia

merintihlah bahasa
runtun hati kian sengsara
perdu berpaut hanya bayang-bayang
cahaya yang datang cuma singgah menyapa
sedangkan gelap menutup ruang
makin sugul, layu dan kelam.

Bahasa bergurindam kasih tuan
mengharap sinar kekal bertandang

KAUS
Seri Harmoni
24/5/2014




Monday 12 May 2014

SAJAK HARI GURU 2014 - BAIT-BAIT FALSAFAHMU



Pemberi mulia itu datang bersama dagangan
melelong baris-baris ilmu dalam senyum
tidak pernah basi
pasti tercurah sepenuh hati.

16 Mei datang menggugah syahdu
dendangan Guru Oh Guru memuji-muji
pasti tidak terdetik di hati mereka untuk berbangga
kerana mereka telah membakar diri untuk berdiri
di hadapan pewaris bangsa sendiri.

Kita laungkan aksara keramat ABC
dari nada tumbuh gigi
hingga ke irama talkin berbunyi
pernahkah kita melihat berapa butir-butir ilmu
mengalir dalam desas-desus jasanya
mengait bintang cita-cita
buat kita semat ke wisuda impian.

Dan dari irama tumbuh gigi
hingga ke irama talkin berbunyi
masih terbawa stanza puisi melankolik
mengiringi hadirmu
pesona belaian seorang ibu dan bapa
tunjuk ajar menutup kurang ajar
bantu sokong dalam beban yang mengongkong
tunjuk jalan dalam langkah ketinggalan.

Engkau bagai camar kedinginan
pulang dari perhambaan lautan ilmu
tanpa tagih simpati mutiara-mutiara yang tercanai
cuma senyum simpul diharapkan.

Buat kita yang masih terkurang ajar
salahkah dia?
salahkah dia?
tidak tidak tidak
kitalah sebenarnya pelupa pada harga jasa segenap rupa
kitalah pengungkit meludah pada langit
kitalah bangsa lidah bercabang dua.

Esok mampukah kita berdiri sepertinya
menggali satu persatu minda yang bebal
dengan jari jemari lembut ini
mampukah kita
mampukah kita
mampukah kita duduk dikerusnya yang dipacak duri ranjau yang menikam.

Apa yang ingin aku khabarkan
aku juga akan jadi sepertimu
aku juga selangkah lagi untuk bergelar seorang guru
cuma mampukah aku?
menghayati bait-bait falsafahmu.

Khairul Azhar Usof
12/5/2014

UPSI

Sunday 4 May 2014

Ayam Masak Lemak Cili Padi Pakai Campak Kebabommmmmmm


- ni utk org xtau masak sj k. sebab ni masakan budak lelaki yang duduk rumah sewa. 

Bahan-bahan:


- 1/2 ekor ayam (potong la comel2)
- 1 batang serai (diketuk)
- Santan 1 kotak (ampa duk rumah tu kukoq la nyoq)
- 7 biji cili padi (nak lg pedas letak 1 pokok) (tumbuk halus)
- Air x3 cawan
- 1 bawang besar (potong mcm dlm gambar)
- 1 keping asam gelugur/keping
- 2 inci kunyit hidup (tumbuk halus)
- Garam secukup rasa

Cara memasak:
- Masukkan kesemua bahan dalam periuk. pastu nyalakan api dapur. Rajin2 la tangan tu kacau ya, jangan sampai santan tu pecah minyak. nanti xjadi. xpun semua pati santan naik ke atas. biarkan ayam masak. pastu angkat n hidangkan...

sedapnya................ selamat mencuba.









Selamat mencuba. terima kasih

Saturday 15 February 2014

Motivasi Sinar Cemerlang Adik2 UPSR SK Batu Lima 2014 -

Alhamdulillah.. kali ini pertama kali bersua dengan adik-adik Darjah 6 Sk Batu Lima.. Kalau dahulu kami sering saja bertemu dengan senior-senior mereka dan Alhamdulillah kepercayaan masih diberikan untuk kami berkongsi sedikit ilmu bersama adik-adik ini.


awal sampai seperti biasa la, dijemput untuk bersarapan dulu di kantin sekolah. mkan cucuq la. huhuhu... sedap jgk.





ni ribaan sayang utk slot Ice breaking yg dikelola oleh Abdul Salam. mcm best saja, macam sonok saja... mesti la syok.. ahhaha... malu la konon.





ni mengantuk ka dik? adoiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiii... nak kata nyanyi lagu sedih xplk. hmmmmmm








aku pun bercakap la sikit.

Semoga mereka2 ni peroleh kejayaan yang cemerlang. Aaamiin.